klik...klik..klik!!!!!

Ahad, 20 November 2011

Sembang Hari ini

Antara topik yg menarik hari ini..
Firstly mesti la pasal Bola, Tahniah buat Harimau muda yg mengalahkan Myanmar semalam....
Topic 1: Poker Internat....
JUDI termasuk dalam perbuatan haram dalam Islam (al-Quran, al-Ma’idah (5): 90-91). Ia perlu dijauhi sama ada kecil atau besar. Bagi lebih memahami maksud judi itu, ia secara umum membabitkan dua perkara berikut, iaitu (1) sumber hadiah berasal daripada apa-apa benda termasuk duit sebagai deposit atau taruhan daripada semua peserta, dan (2) semua peserta perlu mengambil risiko sama ada menang atau kalah di dalamnya (Ashraf Md Hashim 2003).

Sekiranya permainan poker di atas tidak membabitkan perkara di atas, ia bukan judi yang ditakrifkan haram dalam Islam. Bagaimanapun, permainan sedemikian dikira membazir waktu dan wajar dijauhi.

Justeru hukumnya berbeza-beza. Ada berpendapat permainan sedemikian hanya makruh, harus atau haram berdasarkan keada­an tertentu.

Ada menyatakan ia haram kerana melakukan aktiviti tidak berfaedah dan untuk keseronokan semata-mata. Lebih bermanfaat mencegah diri daripada permainan berkenaan.

Topic2: Haram cetak rompak jadi modal perniagaan........
SEHINGGA hari ini, boleh dikatakan masih ramai tertanya-tanya atau ragu dengan isu bahan ciplak atau nama lainnya barangan cetak rompak yang kini semakin banyak disalin secara tidak sah.

Walaupun ada halaman buku yang ingin disalin cetak tertulis perkataan ‘Hakcipta Terpelihara’ serta ‘Tidak Dibenar Ulang Cetak’, masih ramai tidak mengendahkannya dan terus membuat salinan, khususnya membabitkan salinan fotostat.
Kita lihat hari ini, perkara ini terlalu biasa dalam kehidupan seharian umat Islam. Sehingga ada yang menjadikan cara ini sebagai modal perniagaan mereka.

Terutama pada musim harga minyak dan barangan semakin meningkat, semua perkara yang dikira mampu menjimatkan kos akan menjadi pilihan ramai hingga kerap melupakan pandangan Islam atau hukumnya. Bagaimanakah sebenarnya pendirian Islam dalam hal ini? Adakah terus mengharamkannya tanpa bicara?


Sampai kepada saya satu soalan seperti berikut: “Ustaz, saya menjalankan perniagaan fotokopi dan percetakan komputer secara kecil-kecilan di sebuah universiti awam. Masalahnya, saya menggunakan perisian Windows dan Microsoft Office yang cetak rompak. Saya tahu tindakan saya salah, tetapi harga tulen terlalu mahal.

“Saya harap dapat ustaz jelaskan hukum pendapatan daripada perniagaan yang menggunakan perisian cetak rompak dan harap dapat ustaz berikan jalan untuk saya selesaikan masalah ini.”

Saya rasa jawapannya sudah jelas apabila orang yang bertanya itu sendiri mengerti bahawa ia salah. Ini kerana, harta intelek diiktiraf Islam sebagaimana difatwakan ulama sedunia sebagai harta persendirian yang terpelihara.

Justeru, kita tidak boleh mengambil dan menggunakan produk cetak rompak, khususnya apabila perisian itu digunakan untuk diniagakan, sebagai contoh dibuat salinan demi salinan dan dijual pada harga rendah.

Ini bermakna apabila seseorang menjadikan barang tiruan sebagai tulang belakang perniagaannya, perniagaan itu adalah haram, hasilnya juga haram.

Ia sangat jelas berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang melarang umat Islam menjalankan perniagaan sesuatu yang haram kerana hasilnya juga menjadi haram, iaitu yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah, apabila mengharamkan sesuatu, maka akan haram jugalah harga jualan (keuntungan yang terhasil daripada yang haram).” (Ar-Rawdu Al-Murabba’, Riwayat Ibn Hibban)

Rasulullah SAW juga pernah mencela orang Yahudi yang apabila diharamkan memakan daging babi dan lain yang haram bagi umat Islam, mereka (Yahudi) membuat helah dengan mengambil lemaknya dan dihiaskan lalu dijualnya.

Apabila Rasulullah SAW mendapat tahu, baginda terus berkata: “Allah akan menghancurkan Yahudi yang mana mereka ini, apabila Allah mengharamkan makan lemak (babi, bangkai dan lain-lain yang diharamkan), mereka membuat helah dengan menjualnya serta menikmati hasil jualannya.” (Riwayat Al-Bukhari)
Hasil daripada kumpulan hadis ini, bentuk tindakan dilakukan yang ingin saya tekankan adalah, ia sama seperti cetak rompak kerana haram daripada sudut hukum Islam.

Ia berdasarkan keputusan Majlis Kesatuan Ulama Sedunia (Majma Fiqh Islami) dan juga keputusan Majlis Fatwa Eropah yang disebut oleh Syeikh Dr Yusof al-Qaradawi.

Mungkin ada yang berhujah bahawa perisian Windows itu adalah milik seorang kafir yang merujuk kepada Bill Gates dan tiada masalah untuk menggunakan yang cetak rompak selain ada juga yang menyatakan beliau terlalu kaya, oleh itu penggunaan bahan berkenaan tidak memberi apa juga kesan pada kekayaannya.

Sebenarnya, hujah ini meleset dan tertolak dalam fiqh Islam kerana Muslim tidak dibenarkan mencuri harta orang kafir (kecuali kafir yang berperang dengan Islam seperti tentera Amerika di Iraq).

Dalam keadaan tiada peperangan fizikal yang jelas, perisian Windows harta syarikat Microsoft dan pemilikan itu diiktiraf oleh syariah dan diharamkan untuk sesiapa saja dicerobohi sesuka hati.

Dalilnya terlalu banyak, iaitu paling mudah apabila Rasulullah SAW dan sahabat berjual beli dengan orang bukan Islam, Yahudi serta kafir Musyrik. Semua itu menunjukkan umat Islam tidak dibenarkan mencerobohi dan mesti membelinya dengan cara halal.

Namun begitu, menurut sebahagian ulama, jika pelajar ingin menggunakan perisian untuk komputer peribadinya dan bukan untuk perniagaan, hukum mungkin lebih ringan, terutama jika pelajar ini benar-benar ketandusan wang untuk mendapatkan yang tulen.

Sedangkan dia memerlukan komputer dan sesuatu perisian khas untuk tujuan pembelajarannya, tatkala itu, ada ulama mengharuskan atas asas:


‘Hajat Mendesak’ dan kedudukan kewangan bermasalah. Berdasarkan kaedah Fiqh: Ertinya: “Suatu keperluan yang boleh jatuh dalam kategori terdesak, sama ada ia berbentuk umum atau khusus.” (Al-Ashbah Wa An-Nazair)

Hanya untuk kegunaan peribadi dan bukan untuk tujuan komersial

Bertempoh. Ertinya apabila kedudukan kewangannya sudah baik, dia perlu membeli yang tulen

Demikian juga halnya keadaan pelajar di universiti. Sebagai contoh, ada pensyarah menjadikan buku tertentu sebagai ‘silibus’ dan bahan rujukan. Setiap subjek mungkin sehingga lima atau enam buku digunakan.

Sudah tentu pelajar tidak mempunyai sumber kewangan untuk membeli buku yang mungkin tebal dengan harga tinggi.

Lalu tatkala itu, pelajar dibenarkan membuat salinan fotostat halaman tertentu yang berkait dengan pembelajarannya. Maka, pada waktu itu ia diharuskan.

Kembali kepada keadaan seperti dinyatakan, jika benar seseorang itu menghadapi kesukaran wang (hanya beliau dan Allah yang tahu) untuk membeli perisian tulen yang mahal harganya berbanding kemampuannya, maka ada keringanan untuk beliau menggunakan produk tiruan itu dulu buat sementara waktu.

Ketika perniagaan seseorang itu sudah dapat menjana keuntungan yang baik dan stabil serta tiada lagi keperluan mendesak, tatkala itu wajib untuk bertukar dan membeli yang tulen.

Topic 3:KPDNKK iktiraf 500 premis
Sebanyak 500 premis perniagaan di seluruh negara menerima Anugerah Kedai Harga Patut 2011 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNKK), Koperasi dan Kepenggunaan, sekali gus memudahkan orang ramai untuk berbelanja secara berhemah.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata premis itu membabitkan 19 kategori perniagaan, termasuk kedai barang elektrik, kraftangan dan batik, kamera, jam tangan, kosmetik, gerai makan dan restoran dan pasar raya.


Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 141 kedai adalah di kawasan Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

“Kedai berkenaan diberikan anugerah itu kerana menjual barang dengan harga berpatutan, di samping perkhidmatan dan layanan memuaskan kepada pelanggan. “Ini langkah kerajaan hendak membantu pengguna berbelanja di kedai yang menyediakan harga murah dan berpatutan. Setiap kedai akan dipasangkan kain rentang bagi tujuan promosi kepada orang ramai,” katanya, selepas menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut 2011, di sini, semalam.


Anugerah yang diperkenalkan sejak 2003 itu diberikan kepada premis perniagaan selepas mengambil kira beberapa kriteria seperti harga barang dijual, kualiti perkhidmatan, suasana persekitaran premis serta peragaan barangan. Pada tahun ini kementerian itu menerima sebanyak 1,115 pencalonan daripada premis perniagaan di seluruh negara. Ismail Sabri berkata, melalui penarafan itu akan menggalakkan peniaga untuk meletakkan harga yang rendah dan tidak mengaut keuntungan sewenang-wenangnya kerana sekiranya mereka melanggar syarat, anugerah berkenaan akan terbatal.


“Pada tahun ini ada sedikit kelainan iaitu pengiktirafan yang diterima adalah kekal kepada kedai berkenaan dan jika mereka melanggar syarat akan terbatal.
“Justeru, mereka tidak perlu menyertainya lagi pada tahun depan. Kita juga akan melakukan pemantauan terhadap premis yang diiktiraf bagi memastikan syarat pemilihan kedai harga patut dipenuhi sepenuhnya,” katanya. Sementara itu, Ismail Sabri berharap melalui Program Menu Rakyat Satu Malaysia dapat meningkatkan sebanyak 1,000 premis makanan sehingga hujung tahun ini. “Program berkenaan menawarkan pakej menu sarapan pagi pada harga maksimum RM2 dan menu tengah hari pada harga maksimum RM4. Sabah dan Sarawak menawarkan harga RM2.50 bagi sarapan pagi dan RM5 bagi makan tengah hari.


“Sehingga kini sebanyak 914 premis yang menyertai program ini dan kita berharap penyertaan akan meningkat sehingga hujung tahun ini,” katanya. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman web kementerian, www.kpdnkk.gov.my.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan