TIDAK tahu duduk diam, mengutip atau mengambil apa sahaja yang ditemui kemudian memasukkannya ke dalam mulut, memanjat meja atau kerusi, berlari turun dan naik tangga, meniru perkataan-perkataan yang tidak elok serta suka melakukan apa yang dilarang merupakan antara kerenah anak-anak kecil kita.
Malah perangai-perangai sebegini ada ketikanya menguji kesabaran orang tua mereka, terutamanya ibu yang mana lebih banyak menghabiskan masa bersama anak-anak.
Rasulullah SAW adalah model dan contoh terbaik. Baginda sentiasa mengambil berat akhlak kanak-kanak. Baginda juga tidak menghalang kanak-kanak bermain dan memiliki alat permainan.
Malah, Baginda amat bertoleransi dengan kanak-kanak dalam banyak aspek. Contohnya, walaupun Nabi SAW amat tegas dalam hal menyimpan patung berupa benda hidup, apabila bersangkutan kehendak kanak-kanak maka Nabi SAW membenarkannya.
Cucu Baginda sendiri, Husain bin Ali sewaktu kecil memiliki patung anjing kecil. Begitu juga anak Abu Thalhah iaitu Abu Umair yang memiliki burung sebagai teman bermain. Sama seperti isterinya sendiri iaitu Aisyah turut dibenarkan bermain patung.
Ini bermaksud, dalam kes berinteraksi, Nabi SAW memahami kehendak kanak-kanak yang sukakan permainan. Walaupun dari sudut asalnya, Nabi SAW mengerti meletakkan patung di rumah sebagai hiasan boleh menghalang malaikat rahmat masuk ke dalam rumah.
Sebab itu Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulum ad-Din amat bertegas supaya diberikan mainan kepada kanak-kanak. Katanya: “Mencegah anak daripada permainan dan memaksanya terus belajar akan mematikan hatinya, menghilangkan kecerdasan dan menyempitkan hidupnya.”
Kanak-kanak sinonim dengan permainan. Menghalang mereka bermain boleh melambatkan proses kecerdasan mereka.Bagaimanapun, permainan yang dibenarkan Nabi SAW terbatas kepada beberapa kaedah hukum tersendiri. Ia berkait rapat dengan halal dan haram alat permainan. Jika baik, ia dihalalkan Nabi SAW.
Kebiasaannya apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, ibu bapa selalu melabelkan kanak-kanak ini degil atau nakal, lantas anak kecil ini dihukum kerana perbuatan mereka yang dirasakan melampaui itu atau dengan perkataan lain tidak mendengar kata.
Sebenarnya, setiap tingkah laku kanak-kanak itu menunjukkan fitrah seorang kanak-kanak yang ingin mengetahui hakikat setiap benda atau setiap perkara yang berada di persekitaran mereka.
Kita tentunya sedia maklum bahawa rumah adalah sekolah pertama untuk kanak-kanak dan ibu bapa adalah guru pertama kepada mereka, sebelum anak-anak itu melalui pendidikan secara formal bermula dari peringkat pra sekolah atau tadika, sekolah rendah, menengah dan seterusnya ke menara gading serta peringkat pendidikan tertinggi lain.
Hakikatnya, pada usia bayi hingga enam tahun merupakan tahun-tahun penting bagi perkembangan otak kanak-kanak. Malah Islam sendiri amat menitikberatkan aspek pendidikan pada tahap usia ini.
Ini kerana, pada usia tersebut, otak kanak-kanak dalam keadaan kosong dan tiada pengisian, jadi ibu bapa adalah insan yang bertanggungjawab mencorak dan mewarnai mereka supaya menjadi insan berguna kepada agama, ibu bapa dan masyarakat.
Sebagaimana yang ditegaskan dalam hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sabda Rasulullah SAW: Tidak ada seorang bayi melainkan dilahirkan dalam keadaan suci (fitrah) maka kedua ibu bapanya yang bertanggungjawab menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi. (riwayat Syaikhan)
Hadis di atas ini turut disokong oleh ramai ahli psikologi yang berpendapat, pada umur tersebut itulah merupakan tahun-tahun yang penting bagi perkembangan tahap kepintaran kanak-kanak.
Semakin banyak yang diketahui maka semakin banyak yang mahu diketahui oleh kanak-kanak. Oleh itu, janganlah cepat bosan dengan kerenah anak-anak tetapi manfaatkanlah masa bersama dengan anak-anak sebaik mungkin. Waima ia dilakukan dalam suasana bersahaja atau ketika melayan mereka bermain atau semasa ibu bapa sedang menguruskan anak-anak.
Menyedari impian dan keinginan semua ibu bapa untuk memiliki anak yang pintar dan cedas maka PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd. telah menerbitkan buku berjudul, Didik Anak Jadi Pintar yang ditulis oleh Rohani Sheikh Omar.
Menerusi buku ini, ibu bapa atau mereka yang terlibat secara langsung dengan kanak-kanak antara usia 0-6 tahun dapat mempelajari beberapa aktiviti yang dapat membantu proses membentuk pemikiran anak-anak.
Apatah lagi aktiviti yang disediakan ini begitu praktikal dalam meningkatkan perkembangan kanak-kanak seperti; aktiviti matematik, label dan warna, bahasa, sains, bermain dan permainan kreatif.
Di samping itu juga, ibu bapa akan diberikan idea bagaimana anda dan anak-anak dapat meluangkan masa yang bermakna bersama-sama. Ia merangkumi aktiviti di dalam rumah, di luar rumah, bahasa, bunyi, interaksi, perhubungan dan permainan harian.
Ia semua bertujuan meningkatkan perkembangan anak-anak dari sudut sensor motor, kognitif, mental, sosial, sahsiah, fizikal, kreativiti, komunikasi dan pelbagai perkembangan yang berguna untuk kehidupan anak-anak.
Follow @remy_zakaria
.jpg)