Oleh : Abdul Aziz Mohamad Yunus
Satu majlis bersejarah bagi membantu golongan kurang berkemampuan memperbaiki taraf hidup mereka melalui koperasi telah diadakan di mana majlis pelancaran Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) telah berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 22 Februari 2009 yang lalu. Perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Y.B. Dato’ Noh Haji Omar telah melangkah setapak lagi dalam program membasmi kemiskinan. Dengan adanya program seperti ini, golongan yang kurang berkemampuan boleh terlibat secara langsung dengan aktiviti ekonomi yang diusahakan secara berkoperasi, justeru membuka peluang pekerjaan dan menambahkan sumber pendapatan mereka.
KOBERA juga merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan melalui gerakan koperasi. Dalam Laporan Rancangan Malaysia Ke-9 menyatakan bahawa terdapat kira-kira 5.7 peratus rakyat dikategorikan sebagai rakyat miskin dan 1.2 peratus lagi adalah dalam golongan miskin tegar. Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menggerakkan program membela rakyat miskin bertujuan untuk membantu mereka menangani masalah kenaikan harga barangan, kekurangan bekalan makanan, menambah sumber pendapatan bagi membolehkan rakyat merapatkan jurang pendapatan dan seterusnya mengeluarkan mereka dari belenggu kemiskinan. Ini adalah selaras dengan dasar kerajaan melalui misi nasionalnya yang ingin menangani masalah ketidakseimbangan sosio-ekonomi yang berterusan secara produktif dan dalam masa yang sama ianya amat berkesan kerana gerakan koperasi merupakan pertubuhan yang berasaskan sosio-ekonomi.
Menurut Dato’ Noh Haji Omar lagi kerajaan mensasarkan untuk menubuhkan KOBERA di 576 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), di seluruh negara menjelang akhir tahun 2013. Sebanyak 267 ahli KOBERA telah didaftarkan setakat ini. Bagi tahun 2009, sebanyak RM18 juta diperuntukkan oleh kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, yang diberikan secara berperingkat-peringkat mengikut pelaksanaan projek dibawahnya. Katanya lagi, sumber kewangan telahpun diberi melalui geran pelancaran sebanyak RM30,000 untuk membiayai yuran kemasukan dan modal syer anggota pada kadar RM100 setiap orang. Kemudahan pinjaman juga turut disediakan dimana pinjaman tanpa cagaran sehingga RM50,000 boleh didapati sebagai modal tambahan aktiviti perniagaan. Konsep penubuhan KOBERA telah dilancarkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia pada 20 Julai 2008 sempena dengan sambutan perayaan Hari Koperasi Negara 2008 yang lalu dan telah diluluskan oleh Kabinet.
Menurut beliau lagi, masyarakat harus digalakkan menyertai KOBERA kerana ianya boleh menyumbang dalam menggerakkan dan menjana ekonomi masyarakat luar bandar. Koperasi bukan sahaja menjalankan perniagaan malah membantu golongan miskin dengan memberi secara saksama keuntungan perniagaan. Dalam 6,000 koperasi yang berdaftar, hanya 20 peratus sahaja yang mendapat keuntungan lebih daripada RM200,000 dan 80 peratus lagi adalah di bawah angka tersebut. Didapati juga daripada 27 juta rakyat di negara ini, mereka yang menjadi anggota koperasi adalah seramai tujuh juta orang sahaja. Disebabkan oleh itulah SKM ditubuhkan bagi menggerakkan rakyat dalam koperasi. Menurutnya lagi, jika koperasi dapat diuruskan secara profesional, mengapa tidak kita tubuhkan lebih banyak koperasi kerana koperasi dapat menjana pendapatan yang lumayan. Tahun ini Kementerian cuba menubuhkan sebuah lagi bank baru supaya boleh menjadi Bank Rakyat yang kedua yang boleh memberikan dividen yang baik kepada anggotanya. Cadangan dengan mengumpulkan koperasi yang besar-besar seperti ANGKASA, Koperasi Shamelin, Koperasi Polis dan lain-lain lagi bagi menubuhkan bank tersebut. Kerajaan juga ingin menggalakkan orang-orang miskin menjadi usahawan kerana sabda Rasulullah S.A.W. sembilan per sepuluh hasil pendapatan datangnya dari perniagaan.
KOBERA juga selain membantu golongan miskin dalam keusahawanan, ianya juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan seperti “Trading House” seperti yang terdapat di Kota London. Pinjaman boleh dilakukan pada KOBERA melalui SKM, MARA, SME Bank, Bank Pembangunan dan lain-lain lagi. Fungsinya juga adalah sebagai agen atau orang tengah bagi membantu barang-barang hasil koperasi di pasarkan kepada syarikat-syarikat besar. Cadangan mengadakan “Bas Mini Desa” di kawasan kampung-kampung akan dilaksanakan bagi membantu pelajar-pelajar sekolah atau pekerja-pekerja yang memerlukan pengangkutan awam. Bantuan kewangan akan diberikan oleh SKM kepada mana-mana koperasi yang ingin mengusahakan perniagaan ini dengan geran bas di pegang oleh SKM. Alasannya adalah kerana di sesetengah kawasan kampung tiada perkhidmatan bas di sediakan.
Dalam masa yang sama juga, pihak kerajaan juga telah membeli 26 lot kedai bagi mempamerkan hasil-hasil barangan koperasi di Melaka bagi tujuan pusat pelancongan. Sebagai contohnya koperasi boleh menjual tempe, kerepek, hasil hiasan dan lain-lain lagi. Projek ini akan di lancarkan pada tahun ini juga. Beliau yakin koperasi akan boleh berjaya sekiranya di tadbir secara profesional. Bagi mengukuhkan pentadbiran, menurutnya lagi Maktab Kerjasama Malaysia Berhad (MKM) boleh membantu melatih Ahli Lembaga Pengarah (ALP) koperasi dalam menguruskan koperasi.
Objektif KOBERA adalah bagi mewujudkan peluang pekerjaan melalui kegiatan ekonomi, meningkatkan sumber pendapatan tambahan, penggunaan guna tenaga penuh rakyat miskin disamping memaksimakan penggunaan tanah terbiar di kawasan luar bandar. Manakala ciri-cirinya pula adalah dikategorikan di bawah koperasi asas (primary co-operative) di mana 1/3 Anggota Lembaga Koperasi dilantik oleh Menteri di kalangan pemimpin tempatan dan 2/3 Anggota Lembaga Koperasi pula dipilih dalam Mesyuarat Agung Koperasi. Koperasi pula akan diurus oleh seorang pengurus sepenuh masa.
Manakala bagi peringkat nasional pula, ianya dikategorikan sebagai koperasi menengah (secondary co-operative) dimana keanggotaannya terdiri dari semua KOBERA Asas dengan diwakili oleh Pengerusi/Setiausaha Koperasi, 1/3 anggota lembaga dilantik oleh Menteri dan 2/3 dipilih dalam Mesyuarat Agong Perwakilan.
Di bawah rancangan penubuhan KOBERA ini juga, aktiviti ekonomi yang diambil kira bagi membantu golongan miskin meningkatkan sumber pendapatan mereka adalah melalui aktiviti seperti berikut :
Asas tani yang berasaskan teknologi dan pengetahuan seperti sayuran, cili dan tomato melalui teknik fertigasi dan tanaman cendawan, orkid dan ternakan haiwan dengan kaedah terbaru;
Tanaman komersial berasaskan herba seperti serai, limau purut, nilam, tanaman ubatan melalui kaedah lading kontrak dengan jaminan belian balik hasil;
Pengeluaran produk makanan ringan, kraftangan, hasil laut dan bahan-bahan binaan berteknologi ringkas
Aktiviti perkhidmatan seperti pencucian dan penyelenggaraan bangunan, landskap, dobi, percetakan dan eko-pelancongan; dan
Lain-lain aktiviti yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan kepada anggota koperasi. Follow @remy_zakaria
Tiada ulasan:
Catat Ulasan