klik...klik..klik!!!!!

Rabu, 19 Oktober 2011

KR1M - Perancangan

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Tawaran untuk membuka Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) kepada Koperasi Bela Rakyat (KOBERA) oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan salah satu inisiatif bagi membantu koperasi tersebut untuk memajukan perniagaan mereka. Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan adanya tawaran sedemikian maka koperasi tersebut boleh menjana pendapatan tambahan khususnya kepada golongan miskin. "Geran permulaan perniagaan kepada KOBERA hanya RM30,000 dan ianya tidak mencukupi namun kami akan mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) tentang bagaimana hendak memperuntukkan pinjaman Kedai Rakyat 1 Malaysia," katanya semasa menutup seminar peluang peniagaan KOBERA peringkat Zon Tengah di sini, Selasa. Beliau berkata sebuah tabung yang dinamakan tabung modal pusingan tanpa cagaran akan diberikan kepada setiap kawasan Parlimen dengan nilai pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 untuk membolehkan KOBERA membuka Kedai Rakyat 1Malaysia. Mengulas mengenai KOBERA, Ismail Sabri berkata pihaknya sentiasa menggalakkan penubuhan KOBERA di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi membela nasib rakyat yang dibelenggu kemiskinan melalui aktiviti ekonomi yang dijalankan secara berkoperasi dengan sokongan penuh kerajaan. Beliau berkata bagi menggalakkan penubuhan lebih banyak KOBERA di setiap DUN pihaknya telah menubuhkan Majlis Perundingan Koperasi Peringkat Parlimen (MPKP) untuk menjadi pemangkin ke arah merealisasikan hasrat tersebut. "Hari ini kita dapat lihat bahawa 46 orang pengerusi MPKP, 156 orang anggota Lembaga KOBERA dan 46 orang pegawai pengembang koperasi melibatkan kawasan Parlimen dan kawasan DUN dari tiga negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Selangor dan Perak yang terlibat dalam seminar dan perjumpaan ini," katanya. Menurutnya, melalui kegiatan ekonomi yang dijalankan secara berkoperasi dan dengan sokongan penuh kerajaan dalam bentuk kewangan dan khidmat nasihat, adalah diharapkan sebahagian besar daripada anggota KOBERA ini boleh keluar dari belenggu kemiskinan. "Saya juga berharap agar dengan penubuhan MPKP di setiap Parlimen wajar dilihat sebagi pemangkin ke arah merealisasikan hasrat kerajaan dan kementerian untuk melihat sektor koperasi memainkan peranan yang lebih besar dan penting dalam pembangunan sosio-ekonomi negara,"katanya. -- BERNAMA

1 ulasan:

  1. bagusni klu dapat buka Kedai rakyat 1 Malaysia ni.. sape nak kongsi ni

    BalasPadam