klik...klik..klik!!!!!

Isnin, 10 Mei 2010

1 Malaysia

1 MALAYSIA

Cabaran globalisasi yang melanda seluruh dunia ketika ini, memerlukan setiap Negara menyusun strategi masing-masing agar tidak tersisih daripada arus kemajuan dunia dan menjadi mangsa penindasan pihak tertentu. Bagi menghadapi keadaan ini, seluruh rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur. Bagi melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang dibawa oleh arus globalisasi, maka Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abd Razak memperkenalkan Konsep 1 Malaysia yang berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Konsep ini bertepatan dengan cita rasa rakyat Malaysia dan sejajar dengan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara.
Konsep 1 Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di Negara ini sebagai senjata utama untuk menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat kasejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, mampu menjadikan sebuah Negara yang lebih aman, stabil dan maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.
Konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegaraan dan pemimpin memainkan peranan masing-masing. YAB Perdana Menteri mahukan setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing yang melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain.
Justeru, bangsa melayu sebagai contoh tidak wajar hanya berfikir dalam skop bangsanya sahaja. Mereka juga diminta tidak perlu hanya membataskan tindakan mereka kepada perkara-perkara yang menjadi kepentingan mereka sahaja. Demikianlah juga dengan kaum-kaum lain, mereka perlu melakukan perkara yang sama.
Mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam Negara kita telah dilaksanakan kerajaan semenjak kemerdekaan negara lagi. Perkara ini berjalan dalam bentuknya yang tersendiri iaitu pihak kepimpinan negara melayani kehendak dan keperluan setiap etnik melalui wakil kaum masing-masing.
Kelainan konsep 1 Malaysia adalah seperti berikut:
1. Satu konsep bagi mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identity kaum-kaum tersebut.
2. Menjaga kepentingan semua kaum. Konsep 1 Malaysia juga menekankan soal integrasi dan pewujudan bangsa Malaysia yang hanya terbatas kepada kesamaratan hak tanpa mengambil kira reality dan sejarah negara Malaysia.
3. Menekankan sikap penerima dikalangan rakyat berbilang kaum, dimana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.
4. 1 Malaysia bermatlamat untuk mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan Malaysia serta rakyatnya dan kelebihan ini akan dipelihara sebagai bekalan terbaik kita untuk menghadapi sebarang cabaran. Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara menuju kecemerlangan bermula semenjak kemerdekaan dicapai. 1 Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaam antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

1 Malaysia membawa aspirasi untuk meningkatkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang labih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. 1 Malaysia memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Dalam hal ini sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara. 1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Malaysia merupakan sebuah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Setiap ahli dalam masyarakat atau kaum tidak akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan mendapat pembelaan kerajaan yang sewajarnya.
1 Malaysia adalah pemangkin kepada pewujudan negara bangsa yang dapat melahirkan rakyat yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan antara satu sama lain. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integrity, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan. Justeru pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai 1 Malaysia, iaitu
1. Budaya kecemerlangan.
2. Ketabahan.
3. Rendah hati.
4. Penerimaan.
5. Kesetiaan.
6. Meritokrasi.
7. Pendidikan.
8. Integriti.