klik...klik..klik!!!!!

Ahad, 6 Februari 2011

Pandangan Ustaz Nor Amin Tentang Pelaburan ASB Atau Saham-saham PNB


Salam kepada semua pengunjung blog saya. Kali ini saya ingin menghuraikan sedikit sebanyak tentang status hukum pelaburan ASB atau ASNB atau mana-mana saham Permodalan Nasional Berhad.

Saya dahulu pernah membuat pelaburan dengan ASB dengan kepercayaan sepenuhnya pada kenyataan sebuah akhbar tempatan. Saya ingat lagi petikan di akhbar tersebut menyatakan bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan telah meluluskan atau telah mengharuskan orang Islam untuk melabur dalam mana-mana skim pelaburan yang ditawarkan oleh PNB. Pelaburan yang saya buat dalam ASB selama setahun dan saya pernah memperolehi dividen atau keuntungan saham tersebut sebanyak sekali. Tetapi selama saya melabur dalam ASB saya ragu-ragu dan ingin menyelidiki benarkah pendapat Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan harus atau masih kekal dalam status haram disebabkan ramai sahabat-sahabat saya menyatakan haram dengan hujah tertentu.

Untuk kepastian saya tanya kepada Ustaz Rosli Al-Bana iaitu salah seorang ahli Majlis Fatwa Pulau Pinang menyatakan bahawa ASB masih dalam status haram. Saya tanya lagi “tapi ustaz pernah masuk dalam surat khabar menyatakan harus dan dibolehkan melabur oleh Majlis Fatwa Kebangsaan”. Ustaz Rosli menjawab “begini ceritanya “memang benar Majlis Fatwa kata boleh diharuskan dengan syarat mesti pihak PNB mesti menyalurkan dana pelaburan itu ke tempat-tempat yang halal dan tidak melaburkan dana kepada tempat-tempat yang haram, pihak akhbar potong cerita dengan mengeluarkan kenyataan bahawa Majlis Fatwa telah meluluskan atau menyatakan pelaburan ASB adalah harus”. Setelah saya tahu cerita yang sebenarnya dan mengambil tindakan tutup terus akaun ASB tersebut.

Kesimulan dari cerita di atas pelaburan ASB masih dalam status belum mendapat pengitirafan shariah lagi kerana pihak PNB tidak dapat menunaikan syarat-syarat yang dikemukakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Penal Keselamatan Shariah. Majlis Fatwa Negeri Selangor mengharamkan pelaburan ASB atau mana-mana saham PNB. Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' (Fatwa) telah membincangkan perkara di atas dengan penuh teliti dan panjang lebar dan mengambil keputusan seperti berikut :

1. Wang bonus dan dividen yang diterima daripada hasil pelaburan ASB adalah tidak diwajibkan zakat kerana pelaburan bercanggah dengan hukum syarak

2. Wang bonus atau dividen yang dihasilkan dari ASB tidak boleh digunakan untuk belanja menunaikan haji dan dikuatiri haji mereka di tolak dengan alasan pelaburan ASB pada masa ini, terdapat pelaburan di tempat-tempat yang bercanggah dengan hukum syara', maka ia tidak diharuskan sehingga pihak ASB membersihkan dan tempat-tempat tersebut.

3. Aqad Pelaburannya Tidak Jelas.

4. Jaminan modal atau ‘capital' juga menyebabkan aqad pelaburannya bermasalah dari sudut Shariah.

5. Dana terkumpul dilabur secara bercampur di dalam industri halal dan haram

Saya kemukakan lagi pandangan dari Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Saham Malaysia menyatakan bahawa ASB atau mana-mana saham PNB tidak disahkan lagi status halalnya, kerana PNB masih banyak melaburkan dana ke syarikat-syarikat yang tidak jelas statusnya syarak yang ditetapkan dalam Islam.

Beza pendapat dari Majlis Fatwa Perak, Terengganu dan serawak yang menyatakan pelaburan ASB adalam harus dan segala dividen atau bonusnya adalah halal. Manakala Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Prof Datuk Dr Abdul Shukor Husin berkata, hukum bagi pembayaran dividen hasil pelaburan kedua-dua skim berkenaan juga adalah harus dengan sebab itu kita merasakan bahawa masyarakat Islam tidak perlu ragu-ragu lagi terhadap status melabur di dalam skim ASN dan ASB, katanya kepada pemberita selepas Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-80 di sini hari ini.

Pandangan Saya

Bagi sesiapa yang berpegang kepada pendapat yang menyatakan harus, maka tidak mengapalah sebab ini masalah perbahasan atau masalah khilaf para ulamak. Bagi saya ASB atau mana-mana saham PNB belum lagi memiliki pengesahan halal, kerana mereka belum lagi mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Selangor, Majlis Fatwa Pulau Pinang dan Majlis Penasihat Shariah Suruhanjaya Sekuriti Saham Malaysia. Hujah saya lagi pihak Sekuriti Shariah adalah badan yang lebih bertanggungjawab untuk mengkaji dan memastikan status kehalalan saham sesebuah syarikat di Malaysia ini. Perkara ini adalah merupakan perkara yang ragu-ragu status halal dan haramnya. Maka lebih baik dielakkan dari menyertai saham ini. Kerana dikuatiri saham tersebut termasuk dalam haram.

Menurut Ustaz Zaharuddin, beliau menyatakan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharuskan ASB adalah disebabkan ramainya umat Islam Negara ini menyertainya dan banyak pelaburan yang dilaburkan ke ASB. Ini atas maslahat umum, iaitu dikuatiri terjadinya masalah, pertikaian dan kecelaruan, maka pihak Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan statusnya adalah harus, tetapi harus bukan disebabkan pelaburannya tetapi disebabkan ramai orang Islam menyertainya.

Nasihat saya kepada semua, sekarang ini banyak pelaburan seperti ASB yang diakui sah di sisi Shariat oleh Pihak sekuriti Shariah Saham Malaysia atau penal shariah bank-bank yang mempunyai sahamnya tersendiri seperti bank Islam, Public Bank Islamic, Tabung Haji dan sebagainya. Malah saya lihat dividen yang diberikan adalah lebih tinggi berbanding ASB. Contohnya Amanah Saham Bank Islam Berhad (ASBI) mengumumkan dividen tahunannya pada setiap tahun lebih dari 10% dari modal pelaburan, berbandingkan dividen yang diberikan oleh ASB kurang dari 10% pada setiap tahun. Lebih baik anda menyertai saham-saham Islam yang diakui sah dan halal, kita yang menyertai tidak ragu-ragu akan status halalnya dan ulamak Malaysia bersepakat mengiktiraf saham-saham Islam tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan